Ahli falsafah Cina, Han Feizi, telah menulis pemerhatian ini tentang kehidupan: “Mengetahui fakta adalah mudah; mengambil tindakan berdasarkan fakta adalah susah.”

Seorang kaya yang mempunyai masalah yang sama pernah datang kepada Yesus. Dia tahu akan Taurat Musa dan percaya bahawa dia sudah mentaati semua hukum Tuhan sejak muda (Markus 10:20). Namun dia seolah-olah ingin mendengar fakta tambahan yang mungkin akan dikatakan oleh Yesus. “Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?” (ayat 17).

Jawapan Yesus mengecewakan lelaki yang kaya ini. Ini kerana Yesus menyuruh dia menjual semua harta bendanya, memberikan wang kepada orang miskin dan mengikut Dia (ayat 21). Dengan kata-kata ini, Yesus telah mendedahkan fakta yang tidak ingin didengari oleh lelaki tersebut. Dia mencintai dan bergantung kepada kekayaannya lebih daripada kepercayaan kepada Yesus. Tindakan yang meninggalkan kekayaan untuk mengikuti Yesus merupakan risiko terbesar baginya, maka dia meninggalkan tempat itu dengan susah hati (ayat 22).

Apakah yang difikirkan oleh Guru? Para pengikut-Nya berasa hairan dan bertanya, “Jika demikian, siapakah yang boleh diselamatkan?” Yesus menjawab, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara” (ayat 27). Hal in memerlukan keberanian dan iman. “Jika kamu mengaku di hadapan orang bahawa ‘Yesus itu Tuhan,’ dan kamu sungguh-sungguh percaya bahawa Allah sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan” (Roma 10:9).