Persiaran sungai bersejarah di Savannah, Georgia, Amerika Syarikat diturapi dengan beraneka jenis batu-batu buntar. Penduduk-penduduk tempatan menceritakan bahawa beberapa abad yang lalu, batu-batu itu menjadi balast untuk kapal yang berlayar melintasi Lautan Atlantik. Apabila barangan dimuatkan di Georgia, batu buntar tidak lagi diperlukan, maka ia digunakan untuk menurap jalan-jalan yang berdekatan dengan pelabuhan. Batu-batu itu telah melaksanakan tugas utama, iaitu menstabilkan kapal di lautan yang bergelora.

Pada era ini, kita hidup ibarat dalam badai yang bergelora. Seperti kapal yang berlayar pada masa dahulu, kita memerlukan kestabilan untuk membantu kita menempuh badai kehidupan. Daud juga pernah berhadapan dengan bahaya, tetapi dia memuji Tuhan yang telah membekalkan ketenangan selepas dia mengharungi musim yang genting dalam hidupnya. Dia berkata, “Dia menarik aku dari lubang yang berbahaya, dari paya yang berlumpur. Dia meletakkan aku di atas batu sehingga langkahku kukuh” (Mazmur 40:3) Daud telah mengalami konflik, kegagalan peribadi dan masalah rumah tangga, tetapi Tuhan telah memberikan dia langkah yang kukuh. Justeru itu Daud menyanyikan “lagu pujian untuk Allah kita” (ayat 4).

Dalam kesusahan, kita juga boleh memandang Tuhan kita yang Maha Kuasa untuk kestabilan yang hanya mampu diberikan-Nya. Penjagaan-Nya yang setia terhadap kita mengilhamkan kita untuk berkata seperti Daud, “Engkau telah melakukan banyak perkara untuk kami, ya TUHAN, Allahku, Engkau tidak ada bandingnya! Engkau telah membuat banyak rancangan yang baik untuk kami, tidak mungkin aku dapat menceritakan segalanya” (ayat 6).