Ketika menyampaikan ucapan umum, seorang pemimpin dan negarawan yang dihormati telah menjadi perhatian negaranya. Ini kerana dia mengisytiharkan bahawa kebanyakan Ahli Parlimen (AP) di negaranya menjalani kehidupan yang memalukan. Dengan menyebut tentang gaya hidup AP yang menerima rasuah, bersikap sombong, menggunakan bahasa kasar dan lain-lain, dia menegur para AP secara terbuka dan menggesa mereka melakukan pembaharuan. Seperti yang dijangka, komennya tidak diterima, sebaliknya dia menghadapi kritikan keras daripada ahli-ahli parlimen lain.

Kita mungkin bukan pegawai-pegawai awam yang berkedudukan dalam kepimpinan. Namun kita yang mengikuti Kristus adalah “bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Allah sendiri” (1 Petrus 2:9). Oleh itu, Tuhan memanggil kita mengenakan gaya hidup yang memuliakan nama-Nya.

Rasul Petrus mempunyai beberapa nasihat yang praktikal mengenai cara untuk melakukan hal ini. Dia menggesa kita supaya “tidak menuruti hawa nafsu manusia yang sentiasa berlawanan dengan jiwa” (ayat 11). Walaupun dia tidak menggunakan perkataan yang mulia, namun dia menggesa kita mempunyai tingkah laku yang memuliakan Kristus.

Rasul Paulus juga mengungkapkan tentang memuliakan Tuhan dalam suratnya kepada orang Filipi, “hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat” (Filipi 4:8). Sememangnya, inilah ciri-ciri tingkah laku yang memuliakan nama Tuhan kita.