Dalam bukunya, The God I Don’t Understand (Tuhan yang Aku Tidak Fahami), Christopher Wright memerhatikan bahawa orang pertama yang telah memberikan nama kepada Tuhan adalah orang yang tidak begitu menonjol. Orang itu ialah Hagar!

Kisah Hagar memberikan suatu pandangan jujur tentang kemanusiaan dalam sejarah manusia. Sudah bertahun-tahun sejak Tuhan memberikan janji kepada Abram dan Sarai bahawa mereka akan mendapat seorang anak, namun Sarai menjadi semakin tua dan kurang sabar. Dalam usaha untuk “membantu” Tuhan, dia membuat keputusan yang mengikut adat pada zaman itu. Dia memberikan hambanya, Hagar, kepada suaminya, lalu Hagar mengandung.

Seperti yang dijangka, hal itu menimbulkan pertengkaran. Sarai menganiayai Hagar dan menyebabkan dia melarikan diri. Sewaktu bersendirian di padang gurun, dia bertemu dengan malaikat TUHAN, yang juga memberikan janji yang sama dengan janji Tuhan kepada Abram (lihat Kejadian 15:5). “Aku akan memberikan keturunan yang sangat banyak kepadamu, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka” (16:10). Malaikat menamakan anak Hagar sebagai Ismael, yang bermaksud “TUHAN sudah mendengar” (ayat 11). Sebelum ini Hagar berasal daripada budaya yang percaya kepada pelbagai dewa yang tidak dapat melihat dan mendengar, maka dia menamakan Tuhan yang berkata kepadanya sebagai “Allah Yang Melihat” (ayat 13).

“Allah Yang Melihat” adalah Tuhan bagi wira-wira yang kurang sabar dan orang pelarian yang lemah. Dia juga adalah Tuhan bagi orang kaya dan orang yang serba kekurangan serta kesepian. Dia mendengar, melihat dan sangat mengambil berat terhadap setiap kita.