Pada tahun 1880-an, seorang artis dari Perancis, Georges Seurat memperkenalkan sejenis seni yang dikenal sebagai pointillism. Seperti bunyi namanya, Seurat menggunakan titik warna, tetapi bukan lakaran berus daripada campuran warna, untuk membentuk imejnya. Apabila kita memerhatikan karyanya dengan dekat, lukisannya kelihatan seperti perkumpulan titik-titik tersendiri. Tetapi apabila pemerhati berundur ke belakang, mata manusia mengabungkan titik-titik itu menjadi potret atau landskap yang berwarna cerah.

Demikian halnya tentang gambaran keseluruhan Alkitab. Apabila kita melihat dengan dekat, kerumitannya memberi kita gambaran titik pada kanvas. Apabila kita membacanya, kita mungkin mempunyai perasaan yang sama seperti Kleopas dan kawannya dalam perjalanan ke Emaus. Mereka tidak dapat memahami tragedi yang berlaku pada hari Paska bagi minggu itu kerana mereka hanya melihat “titik-titik.” Mereka selalu berharap bahawa Yesus “akan membebaskan Israel” (Lukas 24:21), tetapi mereka telah menyaksikan kematian-Nya.

Tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali berjalan di samping mereka. Dalam perbualan dengan mereka, Dia menolong mereka menyambungkan titik-titik penderitaan dan kematian Mesias yang dinantikan itu. Kemudian, semasa dia makan bersama mereka, Yesus mengizinkan mereka mengenal Dia—kemudian Dia meninggalkan mereka secara misteri sama seperti waktu Dia menampakkan Diri.

Adakah lubang paku pada tangan-Nya yang menangkap perhatian mereka? Kita tidak tahu. Apa yang kita tahu ialah apabila kita menyambungkan titik-titik dalam Alkitab dan penderitaan Yesus (ayat 27, 44), kita akan melihat Tuhan yang mengasihi kita lebih daripada apa yang boleh dibayangkan.