Beberapa hari selepas bapa C. S. Lewis meninggal dunia, masa itu Lewis yang berumur 30 tahun telah menerima sepucuk surat daripada seorang wanita yang telah menjaga ibunya semasa ibunya sakit sehingga dia meninggal dunia hampir dua dekad yang lalu. Wanita ini mengucapkan simpati kepada Lewis atas kehilangan bapanya, dan tertanya jika Lewis masih mengingatinya. “Jururawat Davison yang dikasihi,” jawab Lewis, “Mengingati kamu? Sudah tentunya saya masih mengingatimu.”

Lewis teringat bagaimana kehadiran Davison di rumah mereka sangat bererti baginya serta abang dan bapanya ketika mereka mengalami masa yang amat susah. Dia mengucapkan terima kasih kepadanya atas kata-kata simpati dan berkata, “Ia amat menghiburkan hati apabila mengimbas kembali. Masa yang anda bersama dengan ibu saya rasanya cukup lama bagi seorang anak dan anda telah pun menjadi salah seorang ahli keluarga kami.”

Apabila kita bergelut dalam kesusahan hidup, sepatah kata dorongan daripada orang lain dapat membangkitkan semangat kita dan mengarahkan mata kita kepada Tuhan. Nabi Perjanjian Lama, Yesaya menulis, “TUHAN Raja telah mengajar aku tentang apa yang harus kukatakan, supaya aku dapat menguatkan orang yang letih lesu” (50:4). Apabila kita memandang Tuhan, Dia memberi kita kata-kata untuk membawa harapan dan terang dalam kegelapan.