Saya suka menyaksikan perlumbaan lari berganti-ganti. Kekuatan fizikal, kelajuan, kemahiran dan ketahanan yang diperlukan atlet mengagumkan saya. Tetapi satu saat genting dalam perlumbaan ini khususnya akan menarik perhatian saya dan menyebabkan saya berasa cemas. Itulah saat baton diserahkan kepada atlet seterusnya. Sekiranya ada satu saat penangguhan atau satu kesilapan, mereka akan kalah dalam perlumbaan itu.

Dari satu segi, orang Kristian juga berada dalam perlumbaan lari berganti-ganti, membawa baton iman dan pengetahuan tentang Tuhan dan firman-Nya. Alkitab memberitahu kita bahawa kita perlu menyerahkan baton daripada generasi kepada generasi yang seterusnya. Dalam Mazmur 78, Asaf mengisytiharkan, “Aku akan menggunakan kata-kata hikmat, dan menjelaskan rahsia zaman dahulu, perkara yang telah kita dengar dan ketahui, yang telah diberitahu oleh nenek moyang kita … Kita akan memberitahu keturunan yang akan datang tentang kuasa TUHAN dan tindakan-Nya yang hebat, serta perbuatan ajaib yang telah dilakukan-Nya” (ayat 2-4).

Musa mengatakan sesuatu yang hampir sama kepada orang Israel: “Pastikanlah bahawa selama kamu hidup, kamu tidak sekali-kali lupa akan perkara yang sudah kamu lihat dengan mata kamu sendiri. Beritahulah anak cucu kamu” (Ulangan 4:9).

Bagi generasi yang akan datang, kita dipanggil untuk melakukan sedaya upaya dengan kasih dan keberanian, supaya mereka akan terus mengisytiharkan “perbuatan-Nya yang luar biasa. Allah sudah memanggil [kita] keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang” (1 Petrus 2:9).