Saya membesar dalam era 1960-an yang suka melawan dan pernah meninggalkan kepercayaan Kristian. Saya telah menghadiri gereja sejak kecil tetapi saya tidak percaya kepada Yesus, sehinggalah saya mengalami kemalangan yang teruk pada umur awal dua puluhan. Sejak itu, saya telah mengisi zaman dewasa saya dengan memberitakan kasih Yesus kepada orang lain. Inilah perjalanan hidup saya.

Perkataan “perjalanan” memang sesuai untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang jahat ini. Sepanjang perjalanan itu, kita melewati gunung dan lembah, sungai dan dataran, lebuh raya yang sibuk dan jalan yang sunyi—pengalaman baik dan buruk, suka dan duka, pertentangan dan kekalahan, keperitan jiwa dan rasa sunyi. Kita tidak dapat melihat apa yang ada di hadapan, justeru itu kita haruslah menerima apa sahaja kemungkinan yang akan datang, bahkan menerima perkara-perkara yang kita tidak harapkan.

Namun pengikut Kristus tidak akan menghadapi perjalanan hidup ini seorang diri. Firman Tuhan memperingatkan kita tentang kehadiran Tuhan yang berterusan. Tuhan itu berada di segala tempat (Mazmur 139:7-12). Dia tidak akan membiarkan atau meninggalkan kita (Ulangan 31:6; Ibrani 13:5). Selepas Yesus berjanji untuk mengirim Roh Kudus, Dia berkata kepada pengikut-Nya, “Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu; Aku akan kembali kepada kamu” (Yohanes 14:18).

Dengan yakin kita boleh mengharungi cabaran serta menemui peluang sepanjang perjalanan hidup ini, kerana Tuhan sudah berjanji bahawa Dia sentiasa menyertai kita.