Dalam penerbangan saya baru-baru ini, pendaratan kapal terbang yang saya naiki agak menakutkan. Ketika mendarat di landasan terbang, kapal terbang itu mengalami gegaran dan membuatkan kami tertolak ke kiri dan ke kanan. Beberapa orang penumpang kelihatan cemas, tetapi situasi menjadi reda apabila dua orang kanak-kanak perempuan yang duduk di belakang saya berasa seronok sambil berkata, “Teruskan lagi, teruskan lagi!”

Kanak-kanak terbuka kepada pengalaman yang baharu dan melihat kehidupan dengan rendah hati dan bersikap ingin tahu. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Yesus ketika Dia berkata bahawa kita hendaklah “menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang kanak-kanak” (Markus 10:15).

Hidup ini mempunyai cabaran dan keperitannya. Tidak ramai orang boleh mengalami segala ini seperti Yeremia, yang dipanggil sebagai “nabi peratap”. Namun ketika Yeremia berada di tengah-tengah kesusahan, Tuhan memberi dorongan kepadanya dengan satu kebenaran yang mengagumkan: “Kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan; selalu baru setiap pagi, sesungguhnya Dia setia! (Ratapan 3:22-23).

Belas kasihan Tuhan yang baru dapat menerobos masuk ke dalam hidup kita pada setiap waktu. Belas kasihan-Nya sentiasa ada, dan kita dapat melihatnya apabila kita hidup dengan mempunyai pengharapan seperti seorang kanak-kanak—melihat dan menantikan apa yang hanya Dia boleh lakukan. Yeremia sedar bahawa kebaikan Tuhan melampaui keadaan persekitaran kita, kesetiaan-Nya adalah lebih besar daripada kesukaran hidup kita. Carilah belas kasihan Tuhan yang baru pada hari ini.