Ketika anak lelaki saya memiliki sebuah robot kecil, dia berasa seronok memprogramkan robot tersebut untuk melakukan tugas-tugas yang mudah. Dia dapat membuatnya bergerak ke hadapan, berhenti dan kemudian menjejak semula langkahnya. Malah dia juga boleh membuat benda itu mengeluarkan bunyi serta memainkan semula bunyi yang telah dirakam di dalamnya. Robot itu melakukan apa sahaja yang diarah oleh anak saya. Ia tidak pernah ketawa secara spontan atau mengubah haluan ke arah yang tidak dirancang. Ia tiada pilihan.

Ketika Tuhan menciptakan manusia, Dia tidak menciptakan kita seperti robot. Tuhan menciptakan kita dan menjadikan kita seperti diri-Nya sendiri, dan ini bermakna bahawa kita boleh berfikir, berhujah dan membuat keputusan. Kita dapat memilih antara hal-hal yang baik dan jahat. Malah jika ini telah menjadi kebiasaan kita untuk tidak mentaati Tuhan, kita boleh membuat keputusan untuk kembali kepada-Nya.

Ketika orang Israel purba berbuat dosa terhadap Tuhan, Dia berfirman kepada mereka melalui nabi Yehezkiel. Yehezkiel berkata, “Bertaubatlah daripada kejahatan yang sedang kamu lakukan, dan jangan biarkan dosa kamu membinasakan kamu … biarlah fikiran dan hati kamu menjadi baru” (Yehezkiel 18:30-31),

Jenis perubahan seperti ini boleh bermula dengan cuma satu pilihan, iaitu hidup dengan dikuasai oleh Roh Tuhan (Roma 8:13). Ini boleh bermaksud bahawa kita harus berkata “tidak” kepada hal-hal duniawi walaupun pada saat mengalami kesukaran hidup. Tiada lagi gosip. Tiada lagi rasa tamak. Tiada lagi rasa dengki. Tiada lagi___________(Sila isi sendiri.) Jika anda mengenal Yesus, anda bukan hamba kepada dosa. Anda boleh memilih untuk berubah. Dengan pertolongan Tuhan, perubahan hidup anda boleh bermula pada hari ini.