Mungkin anda pernah menonton iklan televisyen yang menunjukkan seseorang membuka pintu dan mendapati bahawa ada orang menyerahkan satu cek dengan jumlah wang yang besar. Dengan terkejut, penerima cek itu mulai menjerit, menari sambil melompat-lompat serta memeluk setiap orang di sekelilingnya. “Saya menang! Saya kaya! Saya tidak dapat mempercayainya! Segala masalah saya dapat diselesaikan!” Apabila kita menjadi kaya, ia menimbulkan respons emosi yang sangat kuat.

Kita dapat menemui kenyataan yang paling menarik ini dalam Mazmur 119, fasal Alkitab yang terpanjang: “Aku gemar menurut perintah-Mu, lebih daripada memiliki segala kekayaan” (ayat 14). Betapa hebatnya perbandingan ini! Dengan mentaati perintah Tuhan dalam kehidupan, ia boleh menimbulkan perasaan teruja seperti saat kita menerima harta kekayaan! Ayat 16 mengulangi inti pati ayat tadi apabila pemazmur meluahkan perasaan gembira penuh kesyukuran akan perintah Tuhan, “Aku gemar akan hukum-Mu; aku tidak akan melupakan perintah-Mu.”

Namun apa akan terjadi jika kita tidak mempunyai perasaan itu? Bagaimanakah kesukaan akan perintah Tuhan boleh disamakan dengan perasaan gembira ketika kita menerima harta kekayaan? Semuanya bermula dengan sikap bersyukur yang merupakan satu pendirian dan pilihan. Sekiranya kita memerhatikan semua benda yang kita anggap berharga, kita akan mula menyatakan kesyukuran untuk semua berkat Tuhan yang dapat menguatkan jiwa kita. Kita memohon agar Dia membuka mata kita untuk melihat kebijaksanaan, ilmu pengetahuan serta kedamaian yang sudah diberikan-Nya melalui firman-Nya.

Apabila kasih kita untuk Yesus semakin bertambah setiap hari, kita sebenarnya sudah menjadi kaya!