Lagu lama oleh penyanyi Merle Haggard, “If We Make It Through December” mengisahkan seorang pekerja kilang dipecat dan tidak mempunyai wang untuk membeli hadiah untuk anak perempuannya yang masih kecil. Kehidupannya kelihatan suram dan dingin walaupun Disember sepatutnya merupakan bulan yang gembira bagi semua orang.

Kekecewaan tidak hanya berlaku pada bulan Disember, tetapi ia menjadi lebih ketara pada bulan perayaan ini. Harapan kita mungkin lebih tinggi, kesedihan kita lebih dalam lagi. Namun dengan sedikit galakan, semangat kita dapat dibangkitkan.

Yusuf yang berasal dari Siprus, merupakan salah seorang pengikut awal Yesus. Rasul-rasul menyebutnya Barnabas, yang bererti “Penggalak.” Kita boleh membaca kisahnya dalam Kisah Rasul-Rasul 4:36-37, ketika dia menjual sebidang tanah dan mendermakan hasil jualan tersebut untuk menolong para pengikut Yesus yang lain.

Kita dapat membaca cerita yang seterusnya bahawa para pengikut Yesus takut akan Saulus (Kisah Rasul-Rasul 9:26). Namun Barnabas menyambut Saulus dan membawanya kepada rasul-rasul (Ayat 27). Dahulunya Saulus, yang kemudiannya dipanggil Paulus pernah cuba membunuh para pengikut Yesus, tetapi Barnabas membela Paulus bahawa dia telah diubah oleh Kristus.

Semua orang yang berada di sekeliling kita memerlukan galakan. Kata-kata yang tepat pada masanya, panggilan telefon, atau doa bersama boleh menguatkan iman mereka dalam Yesus.

Kemurahan hati dan sokongan Barnabas menunjukkan maksudnya untuk menjadi seorang penggalak. Mungkin itulah hadiah terbesar yang boleh kita berikan kepada orang lain pada musim Krismas ini.