Seorang lelaki sedang memandu sebuah lori kecil di sebatang jalan kampung, lalu ternampak seorang wanita sedang memikul satu barang yang berat, jadi dia pun berhenti dan menjemput wanita itu menaiki kenderaannya. Wanita itu mengucapkan terima kasih lalu naik ke belakang lori tersebut.

Tidak lama kemudian, lelaki itu mendapati sesuatu yang pelik: walaupun wanita itu sudah duduk, dia masih memikul barangnya yang berat! Kata lelaki itu, “Puan, silalah letakkan barang itu dan berehatlah. Lori saya boleh mengangkat puan dan barang puan sekali. Santai sahajalah.”

Bagaimanakah kita memikul beban akibat daripada perasaan takut, bimbang dan kemurungan ketika kita mengharungi banyak cabaran hidup? Adakalanya saya juga bersikap seperti wanita itu, tidak dapat berehat dalam Tuhan. Yesus berkata, “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu” (Matius 11:28), namun saya masih memikul beban yang seharusnya diserahkan kepada Yesus.

Kita meletakkan beban kita ketika kita menyerahkan semua itu kepada Tuhan dalam doa. Rasul Petrus berkata, “Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentang kamu (1 Petrus 5:7). Oleh sebab Dia mempedulikan kita, maka kita boleh berehat dan bersantai ketika kita belajar untuk percaya kepada-Nya. Daripada memikul beban-beban kita yang berat dan meletihkan kita, sebaiknya kita menyerahkan segalanya kepada Tuhan untuk dipikul-Nya.