Bayangkan dunia ini tidak ada angin. Tasik akan menjadi tenang. Daun-daun yang gugur tidak melayang-layang. Tetapi dalam udara yang tenang, siapa akan menduga pokok-pokok akan tiba-tiba tumbang? Itulah yang berlaku di sebuah rumah kaca seluas 3 ekar di padang gurun Arizona, Amerika Syarikat. Pokok-pokok yang tumbuh di dalam Biosphere 2 (sebuah gelembung besar yang tertutup) tumbuh lebih cepat daripada pokok-pokok lain sehingga pokok-pokok itu rebah kerana terlalu berat. Akhirnya, para pengkaji projek tersebut terfikir akan satu kesimpulan. Pokok-pokok tersebut memerlukan tekanan angin untuk tumbuh dengan kuat.

Yesus membenarkan para pengikut-Nya mengalami pengalaman dilanda angin kencang untuk meneguhkan iman mereka (Markus 4:36-41). Semasa semalaman menyeberangi air tasik yang tenang, tiba-tiba angin bertiup amat kencang bahkan itu juga dirasai oleh para nelayan yang berpengalaman. Angin dan ombak itu mengumbang-ambingkan perahu mereka sementara Yesus yang keletihan tertidur di bahagian belakang perahu. Dalam keadaan panik, mereka mengejutkan Dia. Tidakkah angin kencang itu merungsingkan Guru mereka bahawa mereka hampir mati? Apakah yang difikirkan-Nya? Kemudian mereka baru faham. Yesus menengking angin dan ombak untuk menjadi diam dan tenang—dan bertanya kepada para pengikut-Nya mengapa mereka masih tidak percaya kepada Dia.

Seandainya angin kencang tidak bertiup, para pengikut Yesus tidak akan bertanya, “Siapakah orang ini? Angin dan ombak pun taat kepada-Nya!” (Markus 4:41).

Hari ini, hidup dalam gelembung besar yang tertutup mungkin kedengaran baik. Namun seteguh manakah iman kita jika kita sendiri tidak dapat mengetahui bahawa Dia menenteramkan kita dengan berkata, “tenanglah” apabila angin kesusahan melanda hidup kita?