Ketika saya berkahwin dengan tunang saya yang berbangsa Inggeris dan berpindah ke United Kingdom, saya menyangka ia hanya menjadi satu pengembaraan selama 5 tahun di sebuah negara asing. Saya langsung tidak pernah berfikir bahawa saya masih tinggal di sini [United Kingdom] selepas hampir 20 tahun. Pada masa itu saya berasa seolah-olah saya kehilangan hidup yang saya tahu ketika mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga dan kawan-kawan, kerja, dan segala yang saya sudah biasa. Namun walaupun saya telah kehilangan cara hidup yang lama, saya telah memperoleh cara hidup yang lebih baik.

Yesus menjanjikan para pengikut-Nya satu hadiah tentang kehilangan hidup untuk memperoleh hidup sejati. Ini kelihatan bertentangan dengan yang biasa. Ketika Dia mengutus dua belas orang pengikut-Nya untuk mengkhabarkan Berita Baik-Nya, Dia menyuruh mereka untuk mengasihi-Nya lebih daripada ibu bapa, dan anak-anak mereka (Matius 10:37). Menurut budaya pada zaman itu, keluarga merupakan asas masyarakat yang diutamakan. Tetapi Dia berjanji bahawa jika mereka kehilangan hidup kerana mereka pengikut-Nya, mereka akan memperoleh hidup sejati (Ayat 39).

Kita tidak perlu berpindah ke luar negara untuk mencari identiti kita dalam Kristus. Melalui pelayanan dan komitmen—seperti pengikut-pengikut Yesus yang keluar untuk berkongsi berita baik mengenai Kerajaan Tuhan—kita mendapati diri kita menerima lebih daripada yang kita berikan kerana Tuhan melimpahkan kasih-Nya ke atas kita. Sudah tentu Dia mengasihi kita tidak kira betapa banyak kita melayani, tetapi kita mendapat kepuasan dan makna hidup ketika kita menyatakan kasih dalam kehidupan orang lain demi manfaat mereka.