Ibu mendapati bahawa Elias yang berumur empat tahun bergegas lari dari kawasan anak-anak kucing yang baru lahir. Sebelum itu, ibu sudah menasihatinya supaya tidak menyentuh anak-anak kucing itu. “Elias, adakah kamu menyentuh kucing itu?” tanya ibu.

“Tidak!” jawabnya bersungguh-sungguh. Maka ibu pun menanyakan soalan seterusnya: “Adakah anak-anak kucing itu lembut?”

“Ya,” jawab Elias, “dan yang berwarna hitam itu mengiau.”

Kita tersenyum akan pembohongan daripada kanak-kanak kecil seperti itu. Tetapi ketidakpatuhan Elias menunjukkan keadaan manusiawi kita. Tiada seorang pun yang patut mengajar seorang budak berumur empat tahun untuk berbohong. Daud menulis dalam pengakuan klasiknya, “Aku jahat sejak aku dilahirkan; aku berdosa sejak aku dalam kandungan” (Mazmur 51:7). Rasul Paulus berkata, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti semua umat manusia, kerana semua orang berdosa (Roma 5:12). Raja-raja, budak berumur empat tahun, anda dan saya tidak dikecualikan daripada berita yang menyedihkan ini.

Namun, harapan besar masih wujud! Paulus menulis, “Taurat diberikan oleh Allah. Tetapi apabila manusia semakin berusaha mentaati Taurat, mereka semakin melanggarnya dan berdosa terhadap Allah. Tetapi apabila dosa bertambah, rahmat Allah pun semakin bertambah” (Roma 5:20).

Tuhan tidaklah menanti-nantikan kita untuk melakukan dosa lalu menghukum kita dengan serta-merta. Dia bersedia untuk memberikan kasih anugerah, pengampunan, dan pemulihan. Kita hanya perlu benar-benar mengetahui bahawa dosa bukanlah sesuatu yang mencuit hati mahupun boleh dilakukan terus-menerus, tetapi kita harus datang kepada-Nya dalam iman dan pertaubatan.