Saya seronok ketika memandang langit biru yang tidak berawan. Langit adalah sebahagian daripada keindahan karya agung Sang Pencipta, diberikan kepada kita untuk dinikmati. Para juruterbang pesawat pasti juga menyukai pemandangan itu. Mereka menggunakan beberapa terma aeronautikal untuk menghuraikan keadaan langit yang sempurna bagi penerbangan, tetapi terma kegemaran saya adalah, “Anda boleh melihat melangkaui hari esok.”

“Melihat hari esok” melangkaui penglihatan kita. Kadangkala kita berusaha melihat atau memahami apa yang akan terjadi dalam hidup kita pada hari ini. Alkitab memberitahu kita, “Tetapi apa yang akan berlaku dengan kehidupan kamu esok, kamu tidak tahu! Kamu seperti kepulan asap, yang kelihatan sebentar sahaja lalu lenyap” (Yakobus 4:14).

Tetapi kewujudan kita yang terbatas bukanlah sebab untuk kita putus harapan, sebaliknya, kita percaya kepada Tuhan yang melihat seluruh hari esok kita secara sempurna—yang tahu akan keperluan kita semasa menghadapi cabaran di hadapan kita. Rasul Paulus tahu akan hal ini. Itulah sebabnya Paulus mendorong kita dengan kata-kata yang penuh harapan, “Hidup kami berdasarkan kepercayaan kepada Kristus, dan bukan berdasarkan apa yang dapat dilihat” (2 Korintus 5:7).

Apabila kita mempercayakan hari ini dan hari esok yang tidak kelihatan dalam penjagaan Tuhan, kita tidak perlu risau akan apa pun yang akan terjadi dalam hidup ini. Kita berjalan dengan-Nya dan Dia tahu apa yang ada di hadapan; Dia cukup kuat dan sangat bijaksana untuk menangani segala sesuatu.