Pada tahun 2014, lubang robohan yang besar terbentuk secara tiba-tiba di Muzium Kebangsaan Corvette, sebuah muzium kereta di Kentucky, Amerika Syarikat. Lapan buah kereta vintaj, kereta sport Chevrolet Corvette yang tidak dapat diganti terjunam ke dalam lubang tersebut. Kereta-kereta itu rosak teruk—ada yang tidak dapat dibaiki lagi.

Salah sebuah kereta, iaitu kereta Corvette ke-sejuta yang dihasilkan pada tahun 1992 mendapat banyak perhatian kerana ia merupakan koleksi yang paling bernilai. Selepas kereta ini ditarik keluar, kerosakannya adalah dahsyat. Para pakar telah membaiki kereta tersebut sehingga ia menjadi kereta yang baharu, dengan banyak menggunakan dan memperbaiki alat-alat gantinya yang asal. Walaupun kereta cantik itu telah mengalami kerosakan yang sangat teruk, kini ia nampak cantik seperti ia mula-mula dihasilkan.

Yang lama dan rosak telah dijadikan baharu.

Ini adalah satu peringatan yang besar daripada Tuhan untuk orang yang percaya kepada Yesus. Dalam Wahyu 21:1, Yohanes menuliskan bahawa dia melihat, “langit baru dan bumi baru”. Ramai cendekiawan Alkitab melihat bumi “baharu” ini sebagai sebuah bumi yang telah diperbaharui, kerana menurut kajian mereka, perkataan baharu membawa makna “segar” atau “dipulihkan” selepas proses pereputan dan pelupusan benda-benda yang lama. Tuhan akan memperbaharui apa yang cemar di bumi ini dan menyediakan tempat yang baharu, selesa dan segar bagi orang percaya yang akan tinggal bersama Dia.

Alangkah menakjubkan kebenaran ini untuk direnungkan: sebuah bumi yang diperbaharui, selesa, dan cantik. Bayangkan pekerjaan Tuhan yang hebat dan agung itu!