Anak lelaki saya yang berumur empat tahun mempunyai banyak persoalan dan asyik bercakap. Saya suka bercakap dengannya, tetapi dia mempunyai satu tabiat buruk, iaitu bercakap walaupun dia sudah menoleh ke belakang. Saya selalu berkata, “Ibu tidak dapat mendengar anda—tolong pandanglah saya apabila sedang bercakap.”

Kadangkala Tuhan juga hendak bercakap tentang perkara yang sama dengan kita—bukan kerana Dia tidak dapat mendengar kita, tetapi kerana kita selalu bercakap dengan-Nya tanpa “memandang” Dia. Kita berdoa, namun masih dibelenggu oleh persoalan kita sendiri dan hanya berfokus pada diri sendiri, sehingga melupakan Tuhan yang sebenarnya mendengar doa kita. Seperti anak saya, kita menanyakan soalan tanpa memberi perhatian kepada orang yang kita sedang bercakap.

Banyak kebimbangan kita boleh diselesaikan jika kita mengingati diri kita tentang siapa Tuhan dan apa yang sudah dilakukan-Nya. Dengan berfokus kembali kepada Dia, kita mendapat penghiburan kerana mengetahui sifat-Nya: yang mengasihi, mengampuni, Maha Kuasa, dan berbelas kasihan.

Pemazmur percaya bahawa kita perlu selalu mencari wajah Tuhan (Mazmur 105:4, ATB). Apabila Daud memilih pemimpin untuk pelayanan penyembahan dan doa, dia mendorong umat Tuhan memuji sifat-Nya, serta menceritakan kesetiaan-Nya (1 Tawarikh 16:8-27).

Apabila kita memandang wajah Tuhan yang indah, kita boleh mendapat sokongan daripada kekuatan serta penghiburan-Nya, walaupun di tengah-tengah persoalan kita yang belum terjawab.