Beberapa bulan yang lalu, saya menerima satu e-mel yang menjemput saya untuk menghadiri sekumpulan “orang yang digerakkan” (driven people) Saya memutuskan untuk mengkaji perkataan digerakkan, dan saya mendapati bahawa orang yang digerakkan adalah seseorang yang mempunyai motivasi yang tinggi untuk berjaya dan akan bekerja keras demi mencapai cita-citanya.

Adakah menjadi seorang yang digerakkan ini baik? Ayat Alkitab ini boleh menjadi panduan kita: “Lakukanlah semuanya untuk memuliakan Allah” (1 Korintus 10:31). Sering kali kita melakukan perkara untuk kemuliaan sendiri. Selepas banjir besar pada zaman Nuh, terdapat sekumpulan orang yang membuat keputusan untuk membina sebuah menara demi menjadi “termasyhur” (Kejadian 11:4). Mereka ingin menjadi terkenal dan mengelakkan daripada tercerai-cerai ke seluruh dunia. Oleh sebab mereka tidak melakukan hal itu untuk kemuliaan Tuhan, maka tujuan mereka adalah salah.

Sebaliknya, apabila Raja Salomo mempersembahkan Tabut Perjanjian dan Rumah TUHAN yang baru siap, dia berkata, “beta telah membina sebuah rumah sebagai tempat ibadat kepada TUHAN, Allah Israel” (1 Raja-Raja 8:20). Kemudian dia berdoa, “Semoga Dia menjadikan kita orang yang taat kepada-Nya supaya kita sentiasa hidup menurut kehendak-Nya, dan mentaati semua hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada nenek moyang kita” (ayat 58).

Apabila keinginan terbesar kita adalah membawa kemuliaan kepada Tuhan dan hidup dalam ketaatan, kita akan menjadi orang yang digerakkan untuk mengasihi dan melayani Yesus dalam kuasa Roh Kudus. Semoga doa kita mencerminkan doa Salomo. Semoga hati kita “sentiasa setia kepada TUHAN, Allah kita, sambil taat kepada semua hukum dan perintah-Nya” (ayat 61).