Baru-baru ini, saya bertukar bilik di rumah sewaan saya. Ia mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan, kerana saya tidak mahu hanya memindahkan barangan saya yang kotor dan tidak teratur ke dalam bilik baharu; saya mahu permulaan yang bersih dan rapi. Selepas berjam-jam membuat pembersihan dan pengasingan, banyak beg yang berisi barang telah diletakkan di pintu depan untuk dibuang, diderma, atau dihantar ke pusat kitar semula. Pada akhir proses yang meletihkan ini, saya teruja kerana memiliki sebuah bilik yang indah.

Projek pembersihan ini memberikan saya perspektif yang baharu apabila membaca 1 Petrus 2:1, seperti dinyatakan semula dalam buku The Message: “Oleh itu, bersihkan rumah! Singkirkan segala niat jahat, kepura-puraan, iri hati dan semua fitnah”. Menariknya, baru sahaja selepas pengakuan kehidupan baharu mereka yang gembira di dalam Kristus (1:1-12), Petrus menggesa mereka membuang tabiat yang merosakkan diri (1:13-2:3). Apabila perjalanan hidup kita dengan Tuhan terasa berselerak dan kasih kita terhadap orang lain terasa tegang, ia tidak seharusnya menyebabkan kita mempersoalkan penyelamatan kita. Kita tidak mengubah kehidupan kita berdasarkan usaha sendiri untuk diselamatkan, melainkan kita sudah diselamatkan oleh Bapa yang hidup dan kekal (1:23).

Sebagaimana hidup baharu kita dalam Kristus itu nyata, tabiat buruk kita tidak hilang dalam sekelip mata. Jadi kita perlu “membersihkan rumah” setiap hari, membuang semua yang menghalang kita mengasihi orang lain dengan sepenuhnya (1:22) dan bertumbuh (2:2). Kemudian, dalam ruang yang baharu dan bersih itu, kita boleh mengalami pembaharuan yang ajaib (ayat 5) melalui kuasa dan kehidupan Kristus.