Saya bekerja di sebuah restoran makanan segera lebih daripada dua tahun semasa sekolah tinggi. Beberapa aspek kerja itu adalah agak sukar. Pelanggan naik angin sementara saya pula harus memohon maaf bagi sekeping keju yang bukan saya letakkan pada sandwic yang dipesannya. Selepas saya meninggalkan tempat itu, saya memohon pekerjaan komputer di universiti saya. Majikan saya lebih berminat tentang pengalaman makanan segera saya daripada kemahiran komputer saya. Mereka mahu tahu cara saya berinteraksi dengan orang ramai. Pengalaman saya yang tidak menyenangkan itu mempersiapkan saya untuk pekerjaan yang lebih baik!

Daud yang muda juga tabah melalui pengalaman yang tidak menyenangkan. Apabila orang Israel dicabar untuk menghantar seorang untuk melawan Goliat, tiada sesiapa pun yang berani mengambil tugas itu, kecuali Daud. Raja Saul enggan menghantar dia untuk berperang, tetapi Daud menjelaskan bahawa sebagai seorang gembala dia telah melawan dan membunuh singa dan beruang demi keselamatan domba-dombanya (1 Samuel 17:34-36). Dengan yakin dia menyatakan, “ TUHAN, yang telah melepaskan hamba daripada cakar singa serta cakar beruang, akan melepaskan hamba daripada tangan orang Filistin ini” (ayat 37).

Sebagai seorang gembala, Daud tidak dihormati, tetapi tugas itu mempersiapkan dia melawan Goliat dan akhirnya dia menjadi raja Israel yang teragung. Kita mungkin berada dalam keadaan yang sukar, tetapi Tuhan dapat mempersiapkan kita untuk melakukan sesuatu yang lebih besar!