Pada tahun 2011, satu gempa bumi yang bermagnitud 9 dan disusuli dengan tsunami telah meragut hampir 19,000 nyawa dan memusnahkan 230,000 buah rumah di kawasan Timur Laut Tokyo. Akibat daripada bencana itu, Projek Nozomi, yang namanya diambil sempena dengan perkataan “harapan” dalam bahasa Jepun telah ditubuhkan untuk merujuk kepada Tuhan yang menyediakan nafkah, komuniti, maruah dan harapan.

Para wanita Nozomi menyelongkar reruntuhan rumah dan barangan perabot untuk mencari serpihan tembikar yang kemudiannya akan diperhalus dan diselitkan untuk dijadikan barang kemas. Barang kemas itu akan dijual ke seluruh dunia sebagai punca pendapatan bagi para wanita dan ia berkongsi simbol iman mereka dalam Kristus.

Pada zaman Perjanjian Baru, ia sudah menjadi kelaziman untuk menyembunyikan sesuatu yang berharga dalam bejana tanah liat yang kelihatan sederhana. Paulus menghuraikan bagaimana Berita Baik yang bagaikan harta disimpan dalam “bejana tanah liat” (2 Korintus 4:7), iaitu para pengikut Yesus yang tidak sempurna. Dia menyatakan bahawa bejana hidup kita yang tidak seberapa baik bahkan kadang-kadang hancur, namun kita masih mampu mengungkapkan kuasa Tuhan di sebalik ketidaksempurnaan kita.

Ketika Tuhan mendiami hidup kita yang tidak sempurna dan berkecai, harapan penyembuhan melalui kuasa-Nya selalu nyata bagi orang lain. Ya, karya pemulihan Tuhan selalunya meninggalkan parut retakan. Tetapi mungkin bekas retakan yang terhasil daripada pelajaran hidup kita itu merupakan goresan jiwa raga kita, yang membolehkan sifat-Nya lebih ketara kepada orang lain.