Dalam budaya obsesi terhadap selebriti pada hari ini, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila para usahawan memasarkan “selebriti sebagai produk … yang membenarkan mereka menjual masa dan perhatian peribadi selebriti.” Artikel Vauhini Vara dalam surat khabar The New Yorker menuliskan bahawa dengan membayar $15,000 (sekitar RM67,500), anda boleh mengadakan perjumpaan secara peribadi dengan penyanyi Shakira, sementara $12,000 (sekitar RM54,000) akan membenarkan anda makan tengah hari dengan chef selebriti Michael Chiarello di estet peribadinya, bersama dengan sebelas orang tetamu lain.

Banyak orang memperlakukan Yesus seperti seorang selebriti semasa mereka mengikut-Nya dari satu tempat ke tempat lain untuk mendengar ajaran-Nya, melihat mukjizat-Nya, dan meminta kesembuhan melalui sentuhan-Nya. Tetapi Yesus tidak pernah sombong atau menjauhkan diri, malah berada di kalangan semua orang yang mencari Dia. Ketika dua orang pengikut-Nya, Yakobus dan Yohanes secara diam-diam berebut kedudukan dalam kerajaan-Nya yang akan datang, Yesus mengingatkan para pengikut-Nya bahawa “Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu. Sesiapa yang ingin menjadi orang yang pertama haruslah menjadi hamba kepada semua” (Markus 10:43–44).

Tidak lama selepas Yesus mengatakan hal ini, Dia menghentikan orang yang berjalan berduyun-duyun mengikut-Nya untuk bertanya kepada seorang pengemis yang buta, “Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?” Jawab orang itu, “Rabbi, aku ingin melihat” (ayat 51). Dia menerima kembali penglihatannya dengan serta-merta dan mengikut Yesus sejak itu (ayat 52).

Tuhan kita “datang bukan untuk dilayan tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang” (ayat 45). Semoga kita, seperti Dia, berbelas kasihan dan bersedia untuk membantu orang lain pada hari ini.