Ketika kami keluar dari tempat meletak kenderaan, suami saya memperlahankan kereta untuk memberi laluan kepada seorang wanita muda yang sedang mengayuh basikalnya. Apabila suami saya, Tom menganggukkan kepala sebagai tanda bahawa wanita itu boleh berjalan terlebih dahulu, dia tersenyum, melambaikan tangan, dan meneruskan perjalanannya. Beberapa saat kemudian, pemandu SUV (Kenderaan Utiliti Sukan) yang sudah meletakkan kereta, membuka pintu keretanya dengan kuat lalu menghentam penunggang basikal tersebut ke laluan pejalan kaki. Kakinya berdarah, dan dia menangis sambil memeriksa basikalnya yang sudah bengkok.

Selepas itu, kami merenungkan kembali kemalangan tersebut: Kalaulah kami tidak memberi laluan terlebih dahulu kepadanya … Kalaulah pemandu itu memerhatikan keadaan sekeliling terlebih dahulu sebelum membuka pintu keretanya. Kalaulah … Kesusahan dalam kehidupan akan memerangkap kita untuk mengecam diri kita sendiri. Kalaulah saya menghalang anak saya berjumpa dengan remaja-remaja yang mengambil minuman keras … Kalaulah kami mengesan penyakit kanser itu lebih awal …

Apabila kesusahan datang tanpa dugaan, kita kadang-kadang mempersoalkan kebaikan Tuhan. Kita mungkin dapat merasakan keputusasaan yang dialami oleh Marta dan Maria ketika saudara mereka meninggal dunia. Oh, kalaulah Yesus ada di sana pada waktu Lazarus sedang sakit! (Yohanes 11:21, 32).

Seperti Marta dan Maria, kita tidak dapat mengerti sebabnya sesuatu kesukaran terjadi kepada kita. Namun kita boleh menjadi lega dengan mengetahui bahawa Tuhan sedang mengerjakan rancangan-Nya untuk sesuatu yang lebih baik. Dalam setiap keadaan, kita boleh mempercayai hikmat Tuhan kita yang setia dan penuh kasih.