Ketika saya masih seorang remaja, apabila saya berasa amat tertekan terhadap pelbagai cabaran yang dahsyat atau perlu membuat keputusan yang besar, ibu mengajar saya tentang kebaikan untuk menulis segalanya pada kertas bagi mendapatkan sudut pandangan yang jelas. Apabila saya kurang pasti sama ada perlu mengikuti suatu kursus yang khas atau memilih bidang pekerjaan, atau menghadapi hakikat-hakikat yang menakutkan sebagai orang dewasa, saya mempelajari kebiasaan ibu saya yang menyenaraikan semua fakta asas dan penyelesaian yang mungkin diambil, serta keputusan yang bakal terjadi. Apabila saya menuliskan segala cabaran dengan jujur pada kertas, saya mampu melangkah keluar daripada permasalahan tersebut dan melihatnya dengan cara yang lebih objektif dan bukannya dipengaruhi oleh emosi.

Sepertimana saya menulis setiap buah fikiran pada sekeping kertas bagi mendapatkan sudut pandangan yang lebih jelas, demikian juga meletakkan hati kita kepada Tuhan melalui doa mampu membantu kita melihat dari sudut pandangan Tuhan serta mengingatkan kita tentang kekuasaan-Nya. Raja Hizkia melakukan perkara yang sama setelah menerima surat yang menakutkan daripada musuh yang mengerikan. Orang Asyur mengancam untuk menghancurkan Yerusalem seperti negara-negara lain yang diserang mereka. Hizkia membentangkan surat tersebut di hadapan Tuhan, dan berdoa meminta pertolongan daripada-Nya agar seluruh dunia “tahu bahawa [Dia], TUHAN, satu-satunya Allah” (2 Raja-Raja 19:19).

Pada saat kita berhadapan dengan situasi yang membawa kebimbangan, ketakutan atau tahap berjaga-jaga yang begitu dalam, sehingga memerlukan lebih daripada apa yang kita dapat tanggung, marilah kita mencontohi apa yang telah dilakukan Hizkia dan pergi terus menghadap Tuhan. Seperti Hizkia, kita juga mampu membentangkan masalah kita di hadapan Tuhan dan mempercayai-Nya untuk memimpin langkah kita serta menenangkan hati kita yang tidak tenteram.