Penulis dan pastor Erwin Lutzer menceritakan suatu kisah tentang juruacara televisyen, Art Linkletter dan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang melakar wajah Tuhan. Kerana berasa hairan, Linkletter berkata “Kamu tidak dapat melukis Tuhan kerana tiada siapa yang tahu bentuk rupa-Nya”.

“Mereka akan mengetahuinya setelah saya habis melukis!”, kata kanak-kanak lelaki tersebut.

Kita mungkin pernah tertanya-tanya, Apakah keperibadian Tuhan? Adakah Dia baik? Adakah Dia peduli? Respons Yesus terhadap persoalan Filipus merupakan jawapan yang sederhana bagi pertanyaan-pertanyaan tadi; “Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami”. Yesus menjawab, “Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa” (Yohanes 14:8-9).

Jika anda amat ingin mencari Tuhan, pandanglah pada Yesus. “[Kristus] ialah gambaran Allah yang tidak kelihatan”, kata Paulus (Kolose 1:15). Bacalah kesemua empat kitab Injil yang terdapat dalam Perjanjian Baru: Matius, Markus, Lukas dan Yohanes. Selidiki dengan lebih dalam tentang apa yang dilakukan dan dikatakan oleh Yesus, sambil mulai melakar dalam fikiran anda tentang Tuhan saat anda membaca kitab-kitab tersebut. Anda akan mengetahui dengan lebih lanjut tentang Tuhan pada saat anda berjaya melakukannya.

Seorang kawan saya pernah memberitahu bahawa dia hanya mempercayai Tuhan yang dicerminkan dalam keperibadian Yesus. Jika anda memperhatikannya dengan lebih teliti, saya berpendapat anda turut mempersetujuinya. Apabila anda membaca tentang Dia, hati anda akan berdebar, walaupun anda mungkin tidak menyedarinya, Yesus sebenarnya ialah Tuhan yang anda cari sepanjang hidup anda.