Apabila saya berkahwin, saya berfikir saya akan terus mendapat anak tetapi ini tidak terjadi. Ini membuatkan saya berasa amat perit sehingga berlutut memohon kepada Tuhan. Saya sering berteriak kepada Tuhan dalam hati, “Berapa lama lagi?” Saya tahu Tuhan boleh mengubah keadaan hidup saya tetapi mengapa pula Dia tidak melakukannya?

Adakah anda sedang menunggu dan bertanya kepada Tuhan, Ya Tuhan, berapa lama lagi sebelum Engkau bercampur tangan dan menegakkan keadilan di dunia ini? Bilakah ubat penyembuhan untuk kanser akan wujud? Bilakah aku boleh bebas daripada beban hutang?

Nabi Habakuk memahami perasaan sedemikian. Pada abad ke-7 sm, dia berseru kepada Tuhan: “Berapa lama lagi, ya TUHAN, harus aku berteriak meminta tolong, tetapi Engkau tidak mahu mendengar? Adakah aku perlu menjerit “Keganasan!” kepada-Mu, namun Engkau tidak mahu menyelamatkan? Mengapakah Engkau membuat aku melihat kejahatan dan memandang kezaliman? Penjarahan dan keganasan terjadi di hadapanku. Persengketaan dan perbalahan berterusan” (Habakuk 1:2-3). Dia berdoa dengan masa yang lama, dan bergelut untuk mendapatkan kedamaian dalam hatinya di sebalik memikirkan sebab Tuhan Yang Maha Adil dan Maha Kuasa boleh membiarkan kejahatan, kezaliman, ketidakadilan dan rasuah tersebar dalam kerajaan Yehuda. Pada pendapat Habakuk, Tuhan sepatutnya campur tangan dalam perkara itu. Tetapi mengapa Dia tidak bertindak?

Ada masanya kita juga merasakan seakan-akan Tuhan tidak melakukan apa-apa. Seperti Habakuk, kita sering bertanya, “Berapa lama lagi?”

Namun kita tidak bersendirian. Tuhan mendengar kita seperti Dia mendengar Habakuk. Hendaklah kita terus menyerahkan beban kita kepada Tuhan kerana Dia mempedulikan kita. Tuhan mendengarkan kita dan tepat pada masa yang ditetapkan-Nya, Dia akan mengabulkan permohonan kita.