Ini adalah kali pertama Cleo yang berumur 10 tahun memancing. Dia melihat ke dalam bekas yang berisi umpan tetapi dia teragak-agak hendak mengambilnya. Akhirnya dia berkata kepada suami saya, “Eee … , tolong saya!” Apabila suami saya bertanya, “Kenapa?” Cleo menjawab, “Eee … , saya takut cacing!” Perasaan takut telah membuat dia tidak dapat meneruskan memancing.

Perasaan takut juga dapat melumpuhkan orang dewasa. Mungkin Gideon berasa takut apabila malaikat Tuhan datang kepadanya ketika dia sedang mengirik gandum secara sembunyi-sembunyi daripada musuhnya yang berbangsa Midian (Hakim-Hakim 6:11). Malaikat itu berkata kepadanya bahawa dia telah dipilih oleh Tuhan untuk memimpin umat Tuhan dalam peperangan (ayat 12-14).

Apakah jawapan Gideon? Katanya, “Ya Tuhan, bagaimanakah dapat aku selamatkan orang Israel? Lihatlah, kaumku yang terkecil antara semua suku Manasye, malah aku pula yang paling muda antara kaum keluargaku” (ayat 15). Selepas diberi keyakinan bahawa Tuhan akan menyertai dia, Gideon masih takut dan meminta tanda daripada Tuhan bahawa dia akan digunakan oleh Tuhan untuk menyelamatkan orang Israel seperti yang dijanjikan-Nya (ayat 36-40). Permohonan Gideon dikabulkan oleh Tuhan, malah orang Israel menang dalam peperangan dan menikmati keamanan selama 40 tahun.

Kita semua ada pelbagai jenis perasaan takut—daripada cacing hinggalah ke peperangan. Kisah Gideon mengajar kita agar kita boleh yakin bahawa jika Tuhan meminta kita melakukan sesuatu, Dia akan memberikan kekuatan dan kuasa untuk melakukannya.