Dahulunya saya selalu memohon panggilan bangun pagi apabila bermalam di sesebuah hotel dalam tempoh saya sering melakukan perjalanan di kota-kota berlainan setiap malam. Selain jam loceng, saya juga memerlukan panggilan telefon dari hotel yang mengeluarkan bunyi gemerencang untuk membangunkan saya.

Surat-surat Yohanes yang ditulis untuk tujuh buah gereja di wilayah Asia dalam kitab Wahyu mengandungi peringatan yang bagaikan ‘panggilan bangun pagi’ . Dia menuliskan pesan yang diterimanya daripada Yesus kepada jemaah di Sardis: “Aku tahu perbuatanmu. Nama sahaja kamu hidup tetapi sebenarnya mati. Bangunlah dan teguhkanlah apa yang masih ada padamu dan yang hampir mati kerana Kudapati apa yang kamu lakukan belum lagi sempurna di mata Allah-Ku” (Wahyu 3:1-2).

Mungkin kita tidak menyedari kelesuan yang berlaku dalam hubungan kita dengan Tuhan ketika mengalami keletihan rohani. Tetapi Tuhan berpesan, “Ingatlah semula segala yang telah diajarkan kepadamu dan segala yang telah kamu dengar. Patuhilah segalanya dan bertaubatlah” (ayat 3).

Ramai orang mendapati bahawa masa untuk membaca Alkitab dan berdoa kepada Tuhan diperuntukkan setiap pagi sangat membantu seseorang untuk sentiasa berwaspada secara rohani. Ini bukan satu tugasan, melainkan satu keseronokan untuk mengambil masa bersama Yesus, dan tahu Dia akan memperlengkapkan kita untuk menghadapi apa jua keadaan di hadapan kita.