Kadang-kadang Tuhan mengambil masa untuk menjawab doa-doa kita, dan itu tidak selalunya mudah untuk difahami.

Demikian halnya bagi seorang imam yang bernama Zakharia. Pada suatu hari ketika di Yerusalem, malaikat Gabriel menampakkan diri kepadanya dekat mazbah di Bait Suci Tuhan. Gabriel berkata kepadanya: “Janganlah takut, hai Zakharia, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yohanes” (Lukas 1:13).

Zakharia mungkin telah meminta seorang anak daripada Tuhan beberapa tahun sebelum ini, dan sekarang dia sukar menerima mesej Gabriel kerana Elisabet kini sudah jauh melepasi peringkat umur untuk bersalin. Namun, Tuhan tetap mengabulkan doanya.

Ingatan Tuhan adalah sempurna. Dia mampu mengingat doa-doa kita bukan untuk beberapa tahun sahaja, malahan juga untuk generasi seterusnya, sepanjang umur kita. Dia tidak pernah melupakannya dan boleh menjawab doa lama yang kita mula-mula mohon kepada-Nya. Kadang-kadang jawapan-Nya adalah “tidak,” pada masa yang lain jawapan-Nya adalah “tunggu”—tetapi jawapan-Nya sentiasa disertakan kasih. Cara Tuhan menjawab adalah di luar pemahaman kita, tetapi kita dapat mempercayai Dia sepenuhnya.

Zakharia telah belajar akan hal ini. Dia meminta seorang anak lelaki, tetapi Tuhan telah memberikan jauh lebih banyak kepadanya. Anaknya Yohanes membesar dan menjadi seorang nabi yang mengumumkan kedatangan Mesias.

Pengalaman Zakharia menunjukkan kebenaran penting yang juga seharusnya menggalakkan kita semasa kita berdoa: masa Tuhan bukan masa kita, tetapi ia sentiasa berbaloi untuk kita nantikan.