Pada bulan Oktober 1915, semasa Perang Dunia I, Oswald Chambers tiba di Zeitoun Camp, sebuah pusat latihan tentera berhampiran Kaherah, Mesir, untuk melayani sebagai pastor YMCA (Pertubuhan Belia Pemuda Kristian) kepada tentera British Komanwel. Apabila dia mengumumkan ibadat malam pertengahan minggu akan diadakan, 400 orang lelaki berasak-asak di pondok YMCA yang besar untuk mendengar khutbah Oswald yang bertajuk, “Apa yang baik tentang doa?” Kemudian, apabila dia bercakap secara individu dengan orang yang ingin mencari Tuhan di tengah-tengah peperangan, Oswald sering memetik Lukas 11:13, “Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan Roh Kudus kepada mereka yang meminta daripada-Nya!”

Hadiah percuma Tuhan yang dianugerahkan melalui Anak-Nya, Yesus, ialah pengampunan, harapan dan hadirat-Nya yang hidup dalam kehidupan kita melalui Roh Kudus. “Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya” (ayat 10).

Pada 15 November 1917, Oswald Chambers meninggal dunia tanpa diduga kerana apendiks yang pecah. Untuk menghormatinya, seorang askar yang dibawa kepada Kristus oleh Oswald telah membeli sebuah batu marmar yang berbentuk Alkitab terbuka, di atasnya terukirkan ayat Lukas 11:13, lalu dia meletakkannya di sebelah kuburan Oswald: “Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan Roh Kudus kepada mereka yang meminta daripada-Nya.” Hadiah yang menakjubkan daripada Tuhan tersedia untuk setiap kita pada hari ini.