Baru-baru ini saya berada di barisan orang yang terakhir untuk masuk ke dalam pesawat yang tidak menetapkan tempat duduk. Saya menemukan tempat duduk di bahagian tengah yang bersebelahan dengan sayap kapal, tetapi satu-satunya tempat untuk meletakkan bagasi saya adalah di ruangan simpanan di bahagian atas yang terletak di barisan terakhir. Ini bermakna saya perlu menunggu semua penumpang keluar dari pesawat sebelum saya boleh masuk semula dan mendapatkan bagasi tersebut.

Saya tertawa ketika saya duduk dan buah fikiran ini timbul dalam kepala saya, yang seakan-akan datang daripada Tuhan: “Masa untuk menunggu tidak akan menyakiti kamu sedikit pun. Ini sebenarnya akan mendatangkan kebaikan kepada kamu.” Jadi saya memutuskan untuk menikmati saat itu dengan menolong penumpang lain menurunkan bagasi sesudah pesawat mendarat, malah membantu staf penerbangan melakukan pembersihan. Pada ketika itu barulah saya dapat mengambil bagasi saya. Kemudian saya tertawa lagi kerana ada orang berfikir bahawa saya merupakan salah seorang staf penerbangan tersebut.

Pengalaman hari itu mengingatkan saya tentang kata-kata Yesus bagi pengikut-Nya: “Kalau sesiapa ingin menjadi yang terdahulu, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang” (Markus 9:35).

Saya menunggu kerana saya harus berbuat demikian. Akan tetapi dalam kerajaan Yesus yang “sebaliknya”, ada tempat yang terhormat bagi orang yang dengan sukarela membuat pengorbanan diri untuk memenuhi keperluan orang lain.

Yesus datang ke dunia kita yang kelam-kabut dan mementingkan diri sendiri “bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang” (Matius 20:28). Kita dapat melayani Tuhan dengan memberi yang terbaik, iaitu dengan cara melayani orang lain. Semakin rendah kita menundukkan diri, semakin dekat kita kepada-Nya.