“Berapa lama lagi kami boleh menyambut hari Krismas?” Ketika anak-anak saya masih kecil, mereka menanyakan soalan ini berulang kali. Walaupun kami menggunakan kalendar harian Adven untuk mengira kedatangan hari Krismas, namun mereka masih merasakan bahawa penantian merupakan sesuatu yang tidak tertahan.

Kita mudah sahaja boleh memahami kepayahan seorang kanak-kanak yang sedang menanti, tetapi kita mungkin memandang rendah terhadap cabaran yang terlibat dalam penantian bagi semua umat Tuhan. Sebagai contoh, pertimbangkan mereka yang mendengar pesan nabi Mikha, yang berjanji bahawa dari Betlehem seorang “pemerintah di Israel” akan dilahirkan (Mikha 5:2). “Dia akan tampil dan akan menggembala mereka dengan kekuatan TUHAN” (ayat 4). Bahagian pertama nubuat ini terjadi apabila Yesus dilahirkan di Betlehem (Matius 2:1)—setelah umat Tuhan menanti selama lebih kurang 700 tahun. Namun ada beberapa nubuat itu belum terjadi. Ini kerana kita menanti dalam pengharapan akan kedatangan Yesus yang kali kedua, ketika semua umat Tuhan akan “tinggal dengan selamat” dan “dia menjadi besar sampai ke hujung bumi” (Mikha 5:4). Kemudian kita akan bersukacita secara besar-besaran, kerana penantian kita yang panjang akan berakhir.

Kebanyakan kita mendapati bahawa penantian adalah sukar, tetapi kita boleh percaya bahawa Tuhan akan menunaikan janji-Nya untuk menyertai kita sewaktu kita menantikan Dia (Matius 28:20). Kerana ketika Yesus dilahirkan di Betlehem yang terpencil, Dia mampu menunjukkan kehidupan yang berlimpah-limpah (lihat Yohanes 10:10)—hidup tanpa dosa. Kita menikmati hadirat-Nya hari ini sementara kita menanti dengan sungguh-sungguh akan kedatangan-Nya semula.