Sepasang suami dan isteri yang muda saling mengasihi walaupun mereka miskin. Ketika Krismas semakin hampir, kedua-duanya bergelut untuk mencari hadiah yang akan menunjukkan mereka amat mempedulikan satu sama lain. Akhirnya, pada malam menjelangnya Krismas, Della menjualkan rambutnya yang panjang sampai ke lutut demi membelikan rantai platinum bagi Jim untuk jam tangan yang diwarisinya daripada ayah dan datuknya. Akan tetapi, Jim baru sahaja menjualkan jam tangan tersebut untuk membeli satu set sikat yang mahal untuk rambut Della.

Pengarang O. Henry menamakan kisah pasangan itu sebagai Hadiah daripada Ahli Ilmu Bintang. Pelajaran yang ingin disampaikan oleh cerita ini adalah, walaupun hadiah mereka masing-masing telah menjadi sia-sia dan mungkin menyebabkan mereka kelihatan bodoh pada pagi Krismas, namun mereka menjadi orang yang paling bijak dalam hal memberi hadiah kerana kasih mereka untuk satu sama lain.

Ahli-ahli ilmu bintang dalam kisah Krismas yang pertama juga mungkin kelihatan bodoh bagi beberapa orang ketika mereka tiba di Betlehem dengan hadiah yang berupa emas, dupa dan mir (Matius 2:11). Mereka bukan orang Yahudi, malah mereka tidak menyedari bahawa mereka akan mengganggu keamanan Yerusalem dengan menanyakan seorang raja baru orang Yahudi (ayat 2).

Seperti pengalaman Jim dan Della, rancangan ahli-ahli ilmu bintang tersebut tidak menjadi seperti yang dijangkakan. Namun mereka memberi apa yang tidak dapat dibeli dengan wang. Mereka datang dengan hadiah, tetapi kemudian bertelut untuk menyembah Yesus yang akhirnya akan mempersembahkan pengorbanan yang paling besar untuk mereka—dan untuk kita.