Selepas bekerja sepanjang hari, apabila saya sampai di rumah, tiba masanya pula untuk memulakan tugas “lain”: menjadi seorang ayah yang baik. Salam daripada isteri dan anak-anak saya akan segera menjadi, “Ayah, apakah makanan untuk malam ini?” “Ayah, bolehkah dapatkan air untuk saya?” “Ayah, bolehkah kita bermain bola sepak?”

Saya hanya mahu duduk. Walaupun sebahagian daripada diri saya benar-benar ingin menjadi seorang ayah yang baik, namun saya tidak berasa ingin memenuhi keperluan keluarga saya pada saat itu. Ketika itulah saya melihat: sekeping kad terima kasih yang telah diterima oleh isteri saya daripada seseorang di gereja. Gambar kad itu ialah semangkuk air, sehelai tuala dan sandal yang kotor. Di bawahnya tertulis kata-kata yang dipetik daripada Lukas 22:27: “Aku ini antara kamu sebagai yang melayan.”

Ayat tersebut adalah apa yang saya betul-betul perlukan. Ini menggambarkan pernyataan misi Yesus yang datang untuk melayani orang yang dicari dan diselamatkan-Nya (Lukas 19:10). Jika Yesus sanggup melakukan pekerjaan yang paling hina untuk pengikut-Nya, seperti membasuh kaki para pengikut-Nya yang amat kotor (Yohanes 13:1-17),—saya pasti boleh mendapatkan secawan air untuk anak saya tanpa merungut. Pada saat itu, saya diingatkan bahawa memenuhi permintaan keluarga saya dengan melayani mereka bukannya sekadar kewajiban, tetapi merupakan satu peluang untuk mencerminkan hati Yesus yang berjiwa hamba serta kasih-Nya terhadap mereka. Ketika kita menerima permintaan orang lain, itu adalah peluang untuk menjadi lebih seperti Tuhan yang melayani para pengikut-Nya dengan mengorbankan nyawa-Nya untuk kita.