Pada bulan Disember yang lalu, saya dan keluarga saya telah pergi ke kawasan pergunungan. Kami telah hidup dalam iklim tropika sepanjang hayat kami, jadi inilah kali pertama kami dapat melihat pemandangan salji yang indah dan luar biasa. Ketika kami merenungkan gambaran warna putih yang meliputi seluruh padang, suami saya memetik ayat berikut daripada kitab Yesaya, “Sekalipun dosa-dosamu seperti kain merah tua, semuanya akan menjadi putih seperti salji” (Yesaya 1:18).

Selepas bertanya tentang maksud warna merah tua, anak perempuan kami yang berumur tiga tahun mengajukan satu soalan, “Adakah warna merah itu tidak baik?” Dia tahu dosa merupakan benda yang tidak disukai oleh Tuhan, tetapi fokus ayat ini bukan warna. Nabi menggambarkan bahawa pewarna merah terang diperoleh daripada telur serangga kecil. Pakaian akan dicelup sebanyak dua kali ke dalam warna merah terang tersebut supaya warnanya kekal. Hujan atau pencucian tidak dapat menanggalkan warnanya. Dosa adalah seperti begitu. Tiada usaha manusia boleh menghilangkan dosa. Ia berakar dalam hati manusia.

Hanya Tuhan yang boleh membersihkan hati kita daripada dosa. Ketika kami memandang ke arah gunung-gunung, kami berasa kagum akan keaslian warna putihnya, warna tulen yang tidak boleh dicapai meskipun kain berwarna merah tua telah berkali-kali digosok serta dilunturkan. Apabila kita mengikut ajaran Petrus, “Oleh itu bertaubatlah dan berpalinglah kepada Allah, supaya dosa-dosamu dihapuskan” (Kisah Para Rasul 3:19), Tuhan memberikan pengampunan dan hidup yang baru kepada kita. Hanya melalui pengorbanan Yesus, kita dapat menerima apa yang tidak boleh diberikan oleh orang lain—hati yang tulen. Sungguh ajaibnya hadiah ini!