Linus Van Pelt, lebih dikenali hanya sebagai “Linus,” ialah tulang belakang dalam siri komik Peanuts. Linus ialah seorang yang lucu dan bijak, namun mudah tidak berkeyakinan diri, maka dia sentiasa membawa sehelai selimut. Kita boleh memahami keadaannya. Hal ini kerana kita juga mempunyai ketakutan dan perasaan tidak selamat.

Rasul Petrus tahu tentang ketakutan. Apabila Yesus ditangkap, Petrus menunjukkan keberaniannya dengan mengikut Dia ke halaman rumah imam besar. Tetapi dia mula menunjukkan ketakutan dengan berbohong untuk melindungi identitinya (Yohanes 18:15–26). Dia mengeluarkan kata-kata yang memalukan dengan menafikan Tuhannya. Akan tetapi, Yesus tidak pernah berhenti mengasihi Petrus, malah memulihkan imannya pada akhirnya (lihat Yohanes 21:15–19).

Penekanan Petrus tentang kasih dalam 1 Petrus 4:8 berasal daripada seseorang yang telah mengalami kasih Yesus yang mendalam. Dia juga menegaskan kepentingan kasih dalam semua hubungan kita dengan kata-kata berikut, “paling utama.” Penekanan kuat dalam ayat itu diteruskan dengan kata-kata galakan ini, “kasihilah satu sama lain kerana kasih akan menutup banyak dosa.”

Pernahkah anda memerlukan “selimut” semacam itu? Saya pernah! Setelah mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyebabkan saya menyesal, saya berasa salah dan malu. Saya perlu “diselimuti” dengan cara Yesus menutupi orang yang berasa malu dan aib dalam kitab-kitab Injil.

Bagi pengikut Yesus, kasih adalah seperti selimut yang patut diberikan dengan kemurahan dan keberanian, bertujuan untuk menyenangkan dan memulihkan orang lain. Sebagai penerima kasih yang teramat besar ini, marilah kita juga menjadi pemberi kasih.