“Parry four!”

Apabila saya mula bermain lawan pedang di sekolah menengah, jurulatih saya akan melaungkan kedudukan pertahanan (parry) yang betul untuk membantu saya melawan langkahnya. Apabila dia menghalakankan pedangnya dan menusuk, saya harus mendengar arahan dan bertindak balas dengan serta-merta untuk menangkis serangannya.

Tindak balas yang serta-merta setelah mendengar arahan mengingatkan saya tentang ketaatan segera yang dituntut Alkitab dalam hal godaan seksual. Dalam 1 Korintus 6:18, Paulus menulis kepada orang percaya yang tergoda oleh pelacur di kuil kafir, agar mereka “jauhilah perbuatan cabul.” Kadang-kadang kita harus “berpegang teguh” atau “bertahan” dalam keadaan yang mencabar (Galatia 5:1; Efesus 6:11), tetapi di sini, Alkitab menyarankan pertahanan kita yang terbaik: “Lari!”

Tindakan yang segera melindungi kita daripada berkompromi. Kompromi-kompromi yang kecil boleh membawa akibat yang teruk. Misalnya pemikiran yang tidak terkawal, melayari laman web yang salah sepintas lalu di Internet, menjalinkan persahabatan yang bermain cinta sedangkan anda sudah berkahwin—semuanya adalah langkah yang membawa kita ke tempat yang kita tidak patut pergi dan menjarakkan hubungan kita dengan Tuhan.

Apabila kita melarikan diri daripada godaan, Tuhan juga menyediakan jalan keluar untuk kita. Melalui kematian Yesus pada kayu salib kerana dosa-dosa kita, Dia memberi kita harapan, pengampunan dan permulaan baru—tidak kira ke mana pun kita telah pergi atau apa yang telah kita lakukan. Apabila kita berlari kepada Yesus dengan kelemahan kita, Dia membebaskan kita untuk hidup dengan kekuatan-Nya.