Saya dan cucu perempuan saya Allysa mempunyai satu kebiasaan ketika berpisah. Kami akan berpelukan dan berpura-pura meraung secara dramatik selama 20 saat. Kemudian kami melepaskan pelukan dan berkata “jumpa lagi,” dan beredar. Selain kebiasaan yang lucu itu, kami selalu berharap akan berjumpa lagi—tidak lama lagi.

Namun ada kala perasaan semasa perpisahan dengan orang yang kita sayangi boleh menjadi amat memilukan. Ketika rasul Paulus mengucapkan kata-kata perpisahan kepada para pemimpin gereja di Efesus, “Semuanya menangis seraya memeluk … Mereka berdukacita terutamanya kerana dia berkata bahawa mereka tidak akan memandang mukanya lagi” (Kisah Para Rasul 20:37-38).

Walau bagaimanapun, dukacita yang terdalam datangnya apabila kita terpisah oleh kematian dan harus mengucapkan selamat tinggal untuk kali terakhir dalam hidup kita. Perpisahan sedemikian sukar dibayangkan. Kita berkabung. Meratap. Bagaimanakah kita dapat menghadapi rasa dukacita setelah menyedari bahawa kita tidak lagi akan memeluk orang yang pernah kita sayangi?

Namun … kita tidak bersedih seperti orang yang tidak mempunyai harapan. Paulus menulis tentang pertemuan semula pada masa akan datang bagi mereka yang “percaya bahawa Yesus telah mati dan hidup semula” (1 Tesalonika 4:13-18). Paulus mengisytiharkan bahawa: “Tuhan akan turun dari syurga dengan satu seruan yang kuat, dengan suara malaikat agung,” dan mereka yang telah mati dalam Kristus, bersama orang yang masih hidup akan bertemu semula dengan Tuhan kita. Alangkah indahnya pertemuan semula itu!

Yang terindah daripada segalanya—kita akan bersama Yesus selama-selamanya. Itulah harapan abadi.