Keadaan masih gelap gelita ketika Ah-pi memulakan harinya. Orang lain di kampung itu akan bangun sebentar lagi untuk bersedia ke kebun getah. Menoreh getah merupakan salah satu pendapatan utama bagi penduduk Kampung Hongzhuang, China. Pokok getah perlu ditoreh setiap awal pagi sebelum matahari terbit untuk mendapatkan sebanyak mungkin susu getah. Ah-pi ialah salah seorang penoreh, tetapi sebelum itu dia akan meluangkan masa untuk bersekutu dengan Tuhan.

Bapa Ah-pi, suaminya dan satu-satunya anak lelakinya sudah meninggal dunia. Sejak itu dia dan menantu perempuannya mula menanggung nafkah seorang ibu tua serta dua orang cucu lelaki. Ceritanya mengingatkan saya tentang seorang balu dalam Alkitab yang telah berharap kepada Tuhan.

Suami balu itu telah meninggal dunia dan mewariskan hutang kepadanya (2 Raja-Raja 4:1). Dalam menghadapi tekanan hidupnya, dia memandang kepada Tuhan melalui hamba-Nya Elisa untuk mendapatkan pertolongan. Dia mempercayai bahawa Tuhan mempedulikannya dan Dia dapat melakukan sesuatu terhadap keadaannya. Tuhan memang melakukan hal itu. Dengan cara mukjizat, Dia memenuhi keperluan balu ini yang terdesak (ayat 5-6). Tuhan yang sama ini juga menyediakan keperluan Ah-pi—walaupun bukan melalui cara yang ajaib. Keperluan balu itu dipenuhi melalui usaha tangannya, hasil tanah dan pemberian-pemberian umat-Nya.

Walaupun kehidupan dapat membuat pelbagai tuntutan daripada kita, namun kita sentiasa boleh mendapatkan kekuatan daripada Tuhan. Kita dapat berserah kepada Tuhan untuk segala perkara yang membimbangkan kita, sambil melakukan semua yang kita dapat lakukan dan membiarkan Dia membuat kita terpegun dengan apa yang dapat dilakukan-Nya dengan keadaan kita.