Rima ialah seorang wanita dari Syria yang baru berpindah ke Amerika Syarikat. Dengan isyarat tangan dan perkataan Bahasa Inggeris yang sangat terbatas, dia cuba menjelaskan kepada pengajarnya tentang sebab dia berasa sedih. Air mata mengalir di pipinya sambil memegang sepiring fatayer (daging, keju, dan pai bayam) yang disediakannya. Kemudian dia berkata, “Satu lelaki,” dan mendesis-desis sambil menunjuk dari arah pintu ke ruang tamu dan kembali ke pintu tersebut. Pengajarnya menghubungkan segala itu dan mendapati bahawa ada beberapa orang dari gereja berdekatan yang sepatutnya melawat Rima dan keluarganya serta membawa hadiah. Tetapi hanya seorang lelaki datang. Dia telah bergegas masuk, meletakkan kotak barangan, dan bergegas keluar. Dia sibuk dengan tanggungjawabnya, sementara Rima dan keluarganya berasa kesunyian serta rindu untuk membina persahabatan dan berkongsi fatayer mereka dengan kawan-kawan baru.

Yesus selalu meluangkan masa dengan orang. Dia menghadiri majlis makan malam, mengajar orang ramai, dan mengambil masa untuk berinteraksi dengan individu. Dia juga menjemput diri-Nya ke rumah seorang lelaki. Zakheus, seorang pemungut cukai, sanggup memanjat sebatang pokok untuk melihat Yesus, dan apabila Yesus mendongak ke atas, Dia berkata, “Zakheus, turunlah dengan segera kerana pada hari ini Aku harus menumpang di rumahmu” (Lukas 19:1-9). Sejak itu kehidupan Zakheus diubah selama-lamanya.

Jika kita melayani orang semata-mata disebabkan oleh tanggungjawab, kita tidak akan memperoleh masa untuk orang lain. Tetapi jika kita rela meluangkan masa untuk menemani, kita mempunyai peluang yang indah untuk bersama dengan orang lain dan melihat Tuhan bekerja melalui kita.