Salah seorang dalam kelompok pengkajian Alkitab kami mencadangkan, “Marilah kita menulis mazmur kita sendiri!” Pada mulanya ada yang tidak bersetuju kerana mereka tidak berbakat untuk menulis. Tetapi selepas mendapat sedikit dorongan, maka setiap orang menulis lagu puisi untuk menghuraikan bagaimana Tuhan telah bekerja dalam kehidupan mereka. Daripada semua pencubaan, perlindungan, pembekalan dan kesakitan serta air mata, maka muncul mesej bermakna; yang memberikan tema menarik untuk mazmur kami. Seperti Mazmur 136, setiap mazmur menyatakan kebenaran bahawa kasih Tuhan kekal selama-lamanya.

Kita mempunyai kisah untuk disampaikan tentang kasih Tuhan—sama ada kita menulisnya, bernyanyi ataupun bercerita. Bagi sesetengah orang, pengalaman kami mungkin bersifat dramatik atau tegang—seperti penulis Mazmur 136 menceritakan semula bahawa Tuhan membebaskan umat-Nya daripada perhambaan dan menewaskan musuh-Nya (ayat 10-15). Orang lain mungkin hanya menjelaskan ciptaan Tuhan yang hebat: “kepada Dia yang dengan kebijaksanaan menjadikan langit … membentangkan bumi di atas perairan … menjadikan cahaya-cahaya besar … matahari untuk memerintah sewaktu siang … bulan dan bintang untuk memerintah sewaktu malam” (ayat 5-9).

Dengan mengingati siapa itu Tuhan dan apa yang telah dilakukan-Nya, pujian dan kesyukuran yang memuliakan Dia terhasil dalam hati kita. Kemudian kita boleh “berkata-katalah sesama sendiri dengan mazmur, lagu pujian serta nyanyian rohani” (Efesus 5:19) tentang kebaikan Tuhan yang kasih-Nya kekal selama-lamanya! Ubahlah pengalaman anda dengan kasih Tuhan menjadi lagu pujian sendiri dan nikmatilah pencurahan kebaikan-Nya yang tidak pernah berhenti.