Pada zaman kuno, sebuah kota dengan tembok yang runtuh menunjukkan bangsa yang dikalahkan, serta terdedah kepada bahaya dan penghinaan. Inilah sebabnya orang Yahudi telah membina semula tembok Yerusalem. Bagaimanakah mereka melakukannya? Dengan bekerja berganding bahu yang dapat kita perlihatkan dalam Nehemia 3 dengan baik.

Secara pandangan sekilas, fasal 3 mungkin kelihatan suatu catatan yang membosankan tentang apa yang dilakukan oleh seseorang dalam pembinaan semula tembok. Namun, apabila dibaca dengan lebih teliti lagi, fasal ini menunjukkan bagaimana orang bekerjasama. Imam bekerja berganding bahu dengan pemimpin mereka. Tukang campur rempah-rempah dan tukang emas turut membantu. Ada yang tinggal di kota yang berhampiran juga datang untuk menghulurkan tangan. Yang lain menjalankan kerja pembaikan berhadapan dengan rumah mereka. Contohnya, anak-anak perempuan Salum bekerja berganding bahu dengan lelaki lain (3:12), dan ada segelintir yang membaiki dua bahagian kota, seperti orang Tekoa (ayat 5, 27).

Dua perkara yang menonjol dalam fasal ini. Pertama, kesemua mereka bekerjasama untuk satu matlamat yang sama. Kedua, kesemua mereka dipuji kerana penglibatan mereka dalam pembinaan, bukan berdasarkan berapa banyak yang dilakukan mereka.

Hari ini, kita melihat keluarga dan masyarakat yang rosak. Tetapi Yesus telah datang untuk membina kerajaan Tuhan melalui perubahan hidup. Kita boleh membantu untuk membina semula kejiranan kita dengan menunjukkan kepada orang bahawa mereka boleh menemukan harapan dan hidup yang baru dalam Yesus. Kita semua boleh melakukan sesuatu. Mari kita bekerja berganding bahu dan memainkan peranan kita—tidak kira besar atau kecil—untuk membina suatu komuniti yang penuh kasih serta orang boleh menemui Yesus.