Saya selalu terlalu cepat untuk menghakimi sesiapa yang berjalan di jalan raya sambil merenung pada telefon. Tidak sedarkah bahawa akan ada kereta yang akan melanggar mereka? Saya berkata kepada diri sendiri. Tidakkah mereka mempedulikan keselamatan mereka? Tetapi pada suatu hari, semasa melintas jalan, saya begitu asyik pada satu mesej, sehingga saya terlepas pandang sebuah kereta di sebelah kiri saya. Saya bersyukur pemandu tersebut melihat saya dan sempat berhenti dengan serta-merta. Tetapi saya berasa malu. Kesemua tuduhan yang pernah saya lemparkan mula kembali dan menghantui saya. Saya pernah menghakimi orang lain, kali ini giliran saya pula.

Kemunafikan saya adalah jenis pemikiran yang pernah dikatakan oleh Yesus dalam khutbahnya: “Keluarkanlah dahulu kayu balak daripada matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar daripada mata saudaramu” (Matius 7:5). Saya mempunyai “kayu balak” yang besar—titik buta yang saya gunakan untuk menghakimi orang lain dengan penghakiman yang tidak benar.

Yesus juga berkata “Kerana sebagaimana kamu menghakimi orang, demikian jugalah kamu akan dihakimi” (Matius 7:2). Ketika saya mengingat kembali wajah pemandu yang tidak puas hati itu, akibat daripada perbuatan saya, saya diingatkan tentang wajah ketidakpuasan saya sewaktu orang lain begitu asyik dengan telefon mereka.

Tiada sesiapa adalah sempurna. Tetapi ada kalanya saya terlupa dan terburu-buru untuk menghakimi orang lain. Setiap kita memerlukan kasih kurnia Tuhan.