Katie diberi tugasan sekolah untuk menulis esei berjudul “Duniaku Yang Sempurna”. Dia menulis: “Di duniaku yang sempurna … aiskrim adalah percuma, lolipop ada di mana-mana, dan langit biru sepanjang masa, dengan hanya beberapa awan yang mempunyai bentuk yang menarik.” Kemudian eseinya mengambil nada yang lebih serius. Di dunia itu, dia meneruskan, “Tiada sesiapa akan menerima berita buruk di rumah. Tiada sesiapa pun akan menyampaikannya.”

Tiada orang akan menerima berita buruk. Bukankah ini indah? Kata-kata itu menunjukkan dengan kuat harapan penuh keyakinan yang kita miliki dalam Yesus. Dia “mencipta segalanya baru”—menyembuh dan mengubah dunia kita (Wahyu 21:5).

Syurga adalah tempat “tiada lagi”—tiada lagi kejahatan, tiada lagi kematian, tiada lagi kesedihan, tiada lagi kesakitan, tiada lagi tangisan! (ayat 4). Syurga adalah tempat yang kita boleh memiliki persekutuan yang sempurna dengan Tuhan, kerana kasih-Nya telah menebus dan mengambil mereka yang percaya sebagai milik-Nya (ayat 3). Kegembiraan yang besar sedang menantikan kita!

Kita boleh menikmati realiti yang sempurna ini terlebih dahulu di sini dan sekarang ini juga. Sewaktu kita berusaha untuk bersekutu dengan Tuhan setiap hari, kita mengalami sukacita hadirat-Nya (Kolose 1:12–13). Walaupun kita bergelut untuk melawan dosa, kita menikmati sebahagian kemenangan yang kita miliki dalam Kristus (2:13–15), Dia yang menakluki dosa dan kematian sepenuhnya.