Ibu Laura bergelut dengan penyakit kanser. Suatu pagi, Laura dan kawannya berdoa untuk ibunya. Kawannya yang kurang upaya disebabkan palsi serebrum selama bertahun-tahun, berdoa: “Tuhan, Engkau melakukan segala-galanya untuk saya. Tolong melakukan segalanya untuk ibu Laura.”

Laura sangat tersentuh oleh “perisytiharan kebergantungan” kawannya kepada Tuhan. Sambil memikirkan seketika, dia pun berkata, “Berapa kerap saya mengakui saya memerlukan Tuhan dalam segala hal? Inilah sesuatu yang perlu saya lakukan setiap hari!”

Semasa Yesus berada di bumi, Dia menunjukkan kebergantungan yang berterusan kepada Bapa syurgawi-Nya. Orang mungkin berfikir bahawa Yesus ialah Tuhan dalam tubuh manusia, Dia tentulah dapat memenuhi segala keperluan sendiri. Tetapi apabila para pemimpin agama meminta Dia memberikan sebab Dia “bekerja” pada hari rehat yang ditetapkan mengikut hukum hari Sabat, kerana Dia menyembuhkan seseorang pada hari Sabat, Dia pun menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Anak tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Anak” (Yohanes 5:19). Yesus juga mengisytiharkan kebergantungan-Nya!

Kebergantungan Yesus kepada Bapa memberikan teladan terbaik tentang apa yang dimaksudkan untuk hidup dalam hubungan dengan Tuhan. Setiap saat kita menarik nafas adalah hadiah daripada Tuhan, dan Dia mahu hidup kita dipenuhi dengan kekuatan-Nya. Apabila kita hidup untuk mengasihi serta melayani Dia melalui doa setiap masa, dan bergantung pada firman-Nya, kita menyatakan kebergantungan kita kepada-Nya.