Adakah Tuhan mengetahui keadaan saya ketika saya memandu pada waktu malam, dalam perjalanan lebih daripada 160 kilometer ke kampung saya? Jawapannya tidak begitu mudah memandangkan keadaan saya pada masa itu. Suhu badan saya meningkat tinggi dan saya berasa sakit kepala. Saya berdoa, “Tuhan, saya tahu Engkau menyertai saya, tetapi saya dalam kesakitan!”

Saya menghentikan kereta di tepi jalan berhampiran sebuah kampung kecil kerana berasa penat dan lemah. Sepuluh minit kemudian, suara ini kedengaran: “Helo! Adakah anda memerlukan sebarang bantuan?” Rupa-rupanya seorang lelaki dan rakan-rakannya dari kampung itu telah mendekati kereta saya. Kehadiran mereka membuat saya berasa lega. Apabila mereka memberitahu saya nama kampung mereka, Naa mi n’yala (bermaksud, “Raja tahu tentang saya!”), saya terkagum. Saya selalu melalui kampung ini berpuluh-puluh kali tetapi tidak pernah berhenti. Kali ini, Tuhan menggunakan nama-Nya untuk mengingatkan saya bahawa sesungguhnya Dia, Raja kita, sentiasa menyertai saya walaupun saya bersendirian di jalan itu dalam keadaan sakit. Saya pun terus pergi menuju ke klinik berdekatan dengan penuh semangat.

Tuhan mengenal kita dengan teliti ketika kita mengerjakan tugasan seharian kita, berada di pelbagai lokasi dan situasi yang berbeza, tidak kira keadaan kita (Mazmur 139:1-4, 7-12). Dia tidak meninggalkan atau melupakan kita; Dia tidak begitu sibuk sehingga Dia mengabaikan kita. Walaupun kita berada dalam masalah atau keadaan sukar—“kegelapan” dan “malam” (ayat 11-12)—kita tidak tersembunyi daripada hadirat-Nya. Kebenaran ini memberi kita harapan serta keyakinan bahawa kita boleh memuji Tuhan yang telah mencipta kita dengan teliti, dan memimpin kita melalui kehidupan (ayat 14).