Seorang rakan yang bijak menasihati saya supaya jangan menggunakan perkataan “anda sentiasa” atau “anda tidak pernah” dalam pertengkaran—terutamanya dengan keluarga saya. Sungguh mudah untuk mengkritik orang lain di sekeliling kita dan menunjukkan perasaan tidak berpuas hati terhadap orang yang kita sayangi. Tetapi tidak pernah ada perubahan dalam kasih Tuhan yang kekal untuk semua kita.

Mazmur 145 berlimpah dengan perkataan semua. “TUHAN baik kepada semua; dan belas kasihan-Nya meliputi semua ciptaan-Nya “(ayat 9). “TUHAN setia dalam segala janji-Nya dan penuh kasih dalam semua perbuatan-Nya. TUHAN membangunkan semua yang rebah dan menegakkan semua yang tersungkur” (ayat 13-14). “Tuhan memelihara semua yang mengasihi-Nya” (ayat 20).

Mazmur ini mengingatkan kita banyak kali bahawa kasih Tuhan adalah tanpa batas dan tanpa pilih kasih. Perjanjian Baru juga mendedahkan bahawa pernyataan kasih yang terbesar dapat dilihat dalam Yesus Kristus: “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (Yohanes 3:16).

Mazmur 145 mengisytiharkan bahawa “Tuhan dekat dengan semua yang menyeru-Nya, semua yang menyeru-Nya dalam kebenaran. Dia akan memenuhi hasrat mereka yang takut kepada-Nya; Dia akan mendengar seruan mereka lalu menyelamatkan mereka” (ayat 18-19).

Kasih Tuhan terhadap kita sentiasa kekal dan tidak pernah gagal!