Dalam keadaan yang panas dan berdebu, Bob turun dari bas yang telah dinaikinya untuk menuju ke sebuah bandar yang jauh dari rumah. Dia berasa letih selepas melewati perjalanan yang sepanjang hari dan bersyukur kerana dia akan dapat menikmati makan malam bersama kawan-kawannya yang tinggal di kawasan itu. Mereka menyambutnya, dan dengan serta merta dia merasakan kedamaian. Dia berasa seolah-olah berada di rumah sendiri, dalam keadaan yang selesa, selamat dan dihargai.

Kemudian dia tertanya-tanya sebabnya dia merasakan kedamaian di tempat yang tidak dikenalinya, Bob menemukan jawapannya dalam 2 Korintus. Rasul Paulus menggambarkan orang yang mengikut Tuhan sebagai orang yang mempunyai “keharuman Kristus.” “Tepat sekali!” kata Bob kepada dirinya sendiri. Tuan rumahnya memiliki “bau” seperti Kristus.

Apabila Paulus mengatakan bahawa Tuhan mengetuai umat-Nya dalam “perarakan kemenangan” Kristus yang menyebarkan aroma kebenaran-Nya, dia merujuk kepada suatu pengamalan di dunia kuno. Angkatan tentera yang menang akan membakar kemenyan ketika mereka berkawat dalam barisan di jalan-jalan. Bagi penyokong mereka, bau itu membawa sukacita. Dengan cara yang sama, Paulus mengatakan bahawa umat Tuhan membawa bau yang harum kepada mereka yang percaya. Bau itu bukan sesuatu yang kita reka sendiri, melainkan sesuatu yang diberikan oleh Tuhan apabila Dia memimpin kita dalam menyebarkan pengetahuan tentang Dia.

Bob ialah ayah saya. Kisah tentang perjalanannya ke bandar yang jauh itu berlaku lebih daripada empat puluh tahun yang lalu, tetapi dia tidak pernah melupakannya. Dia masih menceritakan kisah orang yang memiliki keharuman Kristus itu.